Alif Teega dan Aisyah Hijanah didakwa atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infaq berjumlah lebih RM1.52 juta ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024

SHAH ALAM – Pempengaruh Alif Teega dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 10 pertuduhan kerana menyalahgunakan wang sedekah berjumlah RM1,526,372.16 antara Mei 2021 hingga Julai 2024.

Tertuduh atau nama sebenarnya, Mohd Hazalif Mohd Hazwani, 30 dan isteri, Aisyah Hijanah Azhari, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

“(Angguk tanda faham) Mohon dibicarakan,” katanya Alif dan isterinya dalam kandang pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ni.

Mengikut 10 pertuduhan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM43,277.20 bagi tujuan Projek Infaq Kurma, RM170,811.20 (Infaq al-Quran di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi), RM213,870.20 (Infaq Pek Makanan Bagi Fakir Miskin di Makkah dan Madinah) dan RM85,726.16 (Infaq Pek Makanan Untuk Fakir Miskin di Makkah dan Madinah).

Alif Teega dan Aisyah Hijanah didakwa atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infaq berjumlah lebih RM1.52 juta ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024

Pasangan suami isteri itu juga didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM41,148.71 (Infaq Pek Makanan Untuk Fakir Miskin Makkah), RM425,890.64 (Infaq Bantuan Untuk Mangsa Banjir), RM313,936.13 (Sedekah Set Pakaian Lelaki Perempuan Untuk Mangsa Banjir), RM438.38 (Bantuan Banjir Set Pakaian Muslimah di Kelantan & Terengganu), RM190,751.16 (Sedekah Set Pakaian Raya Buat Anak Yatim) dan RM40,522.38 (Sedekah Pek Makan & Sedekah Qurban di Makkah 2024).

Kesemua kesalahan itu dilakukan masing-masing pada 11 Mei 2021, 5 Oktober 2021, 27 Oktober 2021, 27 November 2021, 12 Januari 2022, 31 Disember 2021, 13 April 2022, 18 hingga 25 April 2024 dan 2 Julai 2024.

Sebanyak sembilan kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank dan satu kesalahan di Maybank Berhad, di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara di antara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala Alif diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan.

Alif Teega dan Aisyah Hijanah didakwa atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infaq berjumlah lebih RM1.52 juta ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Kemudian pihak pembelaan memberitahu mahkamah anak guamnya bersetuju untuk menerima jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

“Jaminan untuk memastikan tertuduh hadir pada setiap sesi perbicaraan dan anak guam saya memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM dan beliau akan terus memberi kerjsama sehingga kes selesai,” katanya.

Awang Kerisnada kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang, selain meminta menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Selain itu, Awang Kerisnada memberikan syarat tambahan kepada kedua-dua tertuduh di mana mereka tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast