Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan terdahulu untuk tidak mengembalikan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagaimanapun pihaknya kini menumpukan kepada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu.

“Kita akan bawakan ke peringkat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pedoman. Setakat ini kita kekal dengan apa yang telah kita laksanakan.

“Kita ada tumpuan lebih besar khususnya Kurikulum Persekolahan 2027, Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu dan semua input ini termasuk peperiksaan UPSR sudah berada dalam sesi libat urus KPM khususnya dengan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu dan berkaitan dengan jerayawara pendidikan dan masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Himpunan Bulanan KPM di Dewan Damar, Kompleks F, hari ini.

Artikel berkaitan: UPSR wajar dikembalikan, penilaian berpusat sebelum ke sekolah menengah – Asyraf

Pemansuhan PT3, UPSR: Dasar pendidikan perlu dirombak- Zahid

Kelebihan PBS berbanding UPSR dan PT3

UPSR, PT3 komponen penting dalam sistem pendidikan, wajar dikembalikan semula

Fadhlina menjawab pertanyaan media yang merujuk kepada cadangan mantan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya UPSR dan PT3 yang dimansuhkan pada 2022 wajar dikembalikan semula.

Mahdzir berkata, peperiksaan itu sudah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid serta pelajar.

Mahdzir berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin pada 2022 itu dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa melakukan kajian mendalam.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya sistem peperiksaan bagi tahun enam dan tingkatan tiga itu dirombak.

Pemansuhan peperiksaan itu digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kata Mahdzir, memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian murid serta pelajar.

Mengulas lanjut, Fadhlina menegaskan, murid-murid sekolah darjah enam tidak perlu diperlakukan seperti tikus makmal untuk meneruskan atau menghentikan sesuatu peperiksaan

“Anak-anak kita bukan tikus makmal yang kita nak ulang kaji mereka, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada. Kita kena ada ketetapan tersebut dan kita telah buat pelbagai penegasan semula khusus untuk meneguhkan PBD dan latihan guru-guru begitu juga untuk memastikan tidak ada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan anak-anak kita khususnya berkaitan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

“Jadi penegasan di peringkat KPM itu adalah untuk memastikan apa keputusan yang kita ambil tidak boleh menjejaskan anak-anak kita,” katanya lagi.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast