Foto IG Noh.

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh tampil mendedahkan anak pertama yang dikandung isteri, Fatin Athira telah meninggal dunia tujuh bulan lalu.

Berita sedih itu dikongsikan Noh atau Mohammad Noh Salleh, 39, dalam Instagramnya sambil memandang positif terhadap ujian yang dilalui.

“Hari ini 22 September genap tujuh bulan kami kehilangan anak dalam kandungan. Kalian tak tahu kan? Dalam kesukaran berjuang untuk Musa, kami juga bergelut memastikan anak di dalam kandungan sihat namun, tuhan jemput dia awal.

“Segala ujian ini adalah untuk mempersiapkan kami agar menjadi lebih kuat atau erti kata lain perbaiki diri sebagai suami isteri,” tulisnya di media sosial.

Bagaimanapun, Noh tidak menyatakan dengan lebih terperinci mengenainya.

Pada masa sama, pelantun lagu Pagi Yang Gelap itu juga menamakan bayi itu dengan nama Julian.

“Meskipun perit nak lalui segala yang aneh tetapi kami bersyukur Tuhan jernihkan semua untuk kami nampak dan ternyata hidup lebih steady serta tenang sebab kami berjuang pertempuran hebat dan menang.
“Beruntung kami dikelilingi orang-orang baik, teman-teman dan keluarga yang tidak henti memberi kekuatan, mendoakan serta menemani pergi ke kubur sementara kami tidak stabil mental dan emosi.

“Kami juga namakan anak kami Julian. Insya-Allah semoga Tuhan izinkan kami boleh berjumpa dengan dia nanti,” ujarnya.

Selain itu, Noh memuat naik hantaran tersebut hari ini sempena ulang tahun perkahwinan pertamanya dengan isterinya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here