KLUANG – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) Johor mempersoalkan ke mana perginya peruntukan RM800,000 untuk kerja-kerja mendalamkan sungai dan RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Melantai yang disalurkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam mendakwa, pihaknya difahamkan peruntukan itu sudah ‘turun’ tetapi tidak kelihatan kerja-kerja atau projek tersebut dilakukan.
“Tetapi sehingga ke hari ini masalah sama masih tidak diselesaikan dan terus menghantui kehidupan rakyat.
“Lantas menimbulkan lebih banyak persoalan adakah peruntukan ini benar-benar telah disalurkan atau tidak?
“Jika telah disalurkan, kerajaan negeri wajib memberikan penjelasan apakah tahap-tahap kerja yang telah dilakukan untuk atasi masalah banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset, Kampung Bentong Luar, di sini, hari ini.
Mohamad Syafiq berkata, banjir di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukan isu baharu, sebaliknya sudah berlarutan selama bertahun-tahun.
Bahkan katanya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain juga pernah mengutarakan permasalahan itu.
Katanya, Allahyarhamah menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kluang (MPK) segera melaksanakan beberapa langkah.
Jelasnya, ini termasuk kerja-kerja mendalamkan tali air bagi menangani masalah banjir yang sering melanda seluruh DUN Mahkota.
“DUN Mahkota bertahun-tahun diwakili oleh seorang ADUN kerajaan tetapi masalah tetap tidak selesai,” dakwanya.
Pilihan Raya kecil (PRK) DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.
PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal. – MalaysiaGazette