**analisis
TINGGAL beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebelum hari pengundian Sabtu ini, namun calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar nampaknya masih terkial-kial untuk menonjolkan diri lebih-lebih dalam kalangan pengamal media.
Hampir setiap kali pada sesi bertemu media, kebanyakan soalan yang diajukan kepada beliau yang popular dengan gelaran ‘Coach Haizan’ akan cuba dikaitkan dengan sukan bola sepak.
Waima dalam isu-isu yang tiada kaitan sekali pun, sama ada mengenai masalah penduduk atau isu di peringkat nasional, pada akhirnya akan cuba dikaitkan dengan pengalamannya sebagai jurulatih bola sepak.
Kita memahami kecintaan dan minat yang tinggi Coach Haizan terhadap sukan bola sepak memandangkan beliau pernah mewakili Johor termasuk untuk Piala Presiden Johor, Piala Razak Johor dan Piala Emas Raja Johor.
Namun, Coach Haizan perlu sedar beliau ketika ini sedang bertarung di gelanggang yang berbeza, bukannya sedang meggelecek bola di atas padang.
Di hadapannya terdapat isu-isu lebih besar menyentuh mengenai kebajikan rakyat seperti isu banjir, ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan yang perlu diselesaikan sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat DUN Mahkota.
Seharusnya, Coach Haizan perlu membawa diri sebagai seorang bakal pemimpin yang mampu menawarkan alternatif dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan rakyat sepanjang tempoh berkempen ketika ini.
Lebih malang, gerak kerja kempen Coach Haizan juga seoalah-olah tidak mendapat sokongan daripada jentera parti-parti komponen PN yang lain.
Pada kebanyakan masa, beliau dilihat turun berkempen dengan hanya ditemani sekumpulan kecil pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pemimpin Pas tempatan.
Akar umbi Pas dan Gerakan misalnya, langsung tidak kelihatan bergerak di lapangan bagi memperkenalkan beliau sebagai calon PN yang perlu disokong pengundi DUN Mahkota.
Walaupun Coach Haizan menafikan perkara itu dan mendakwa beliau mendapat sokongan semua jentera parti PN, namun realiti yang dapat dilihat pengamal media adalah sebaliknya.
Memasuki hari ke-10 kempen PRK DUN Mahkota hari ini juga, pemimpin-pemimpin kanan Pas Pusat yang kebiasaannya turun berceramah setiap kali PRK seperti Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga langsung tidak kelihatan.
Pengamal media seboleh-bolehnya mahu memberikan liputan yang seimbang antara kedua-dua calon sepanjang kempen PRK DUN Mahkota dan menyerahkan kepada pengundi untuk menilai kesungguhan serta kemampuan calon berdasarkan apa yang kami laporkan.
Sebagai wadah dan penyampai kepada masyarakat, kami tidak mahu dilihat terlalu berpihak atau menyokong mana-mana parti yang bertanding.
Tetapi malangnya, perkara itu sukar dilakukan dalam keadaan PN yang seolah-olah lebih awal mengibar bendera putih dan mengakui mereka sebenarnya langsung tidak mempunyai peluang pada PRK DUN Mahkota ini. – MalaysiaGazette