Ku Li (tengah) bersama-sama Syed Hussien dalam program sembang santai bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di PDM Kampung Melayu 1, Kluang, semalam.

KLUANG – Kelantangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam beberapa isu sebelum ini adalah selari dengan perjuangan parti, seperti termaktub dalam Perlembagaan parti.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tindakan itu tidak sepatutnya dianggap sebagai perkauman atau anti terhadap mana-mana kaum.

Beliau menegaskan, tindakan Dr Muhamad Akmal juga tidak membawa maksud untuk melancarkan ‘perang’ terhadap mana-mana pihak.

“Mengapa nak kena minta maaf? Saya rasa ini adalah pandangan ikhlas daripada Ketua Pemuda (UMNO) kita (Akmal) dia meluahkan perasaan (dan ini) bukan soal sijil halal tak halal tapi soal perasaan dia tak begitu puas hati.

“Pandangan saya, macam apa yang diluahkan oleh pemimpin kita sama ada Akmal ataupun sesiapa, bukan bererti kita mempunyai perasaan anti ataupun nak lawan.

“Sebaliknya ia sekadar meluahkan macam-macam perkara yang dia tak senang hati terhadap orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam program sembang santai bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu 1 di sini lewat petang, semalam.

Beliau mengulas desakan Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau yang menuntut Dr Akmal meminta maaf kepada Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan semua rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.

Menurut Cheng Hau, ini berikutan keputusan terkini Kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi dan alkohol sekali gus membuktikan kebenaran pendirian Teresa.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li berkata, perjuangan UMNO sebagai parti nasionalisme Melayu sendiri masih tidak berubah, namun tidak bermakna memandang enteng sokongan pengundi kaum lain.

“Saya rasa masih tidak berubah (perjuangan UMNO) tapi tidak bererti kita tidak mahu kepada pengundi orang-orang Cina, ini semua rakyat Malaysia.

“Namun pendirian itu (parti dalam Kerajaan Perpaduan) masing-masing bawa,” jelasnya.

Untuk rekod, menurut Perlembagaan parti ini, UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara.

Pari itu juga yang memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan orang Bumiputera.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here