Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menunjukkan barangan rampasan selepas sidang media mengenai perkembangan terbaharu GISBH bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perkembangan terkini siasatan Op Global terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berjaya menyelamatkan seramai empat kanak-kanak yang didakwa mangsa dera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keempat-empat mangsa merupakan adik-beradik berumur lingkungan antara enam hingga 11 tahun diselamatkan di Tapah, Perak.

Katanya, polis juga mendapati keempat-empat mangsa itu telah terpisah dengan ayah mereka sejak tahun 2021.

“Siasatan polis mendapati salah seorang kanak-kanak tersebut merupakan individu tular yang dirotan oleh ahli GISBH. Dalam perkembangan lain, seorang kanak-kanak yang turut tular menjadi mangsa penderaan (dipijak) juga telah diselamatkan oleh polis,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di sini hari ini.

Tambah Razarudin, kanak-kanak yang diselamatkan itu pada ketika ini dalam jagaan pihak hospital dan ditempatkan di wad pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, polis menyiasat kedua-dua kes tersebut di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua suspek yang terlibat telah direman untuk siasatan.

“Pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan turut mendedahkan bahawa mangsa yang diselamatkan itu mengalami kesan penganiayaan,’ tegasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here