Sumber IPD Lipis

KUANTAN – Kemalangan maut mengorbankan tiga lelaki di kilometer 57 Jalan Central Spine Road (CSR) di Kampung Gua Tagang, Merapoh, Kuala Lipis awal pagi tadi disebabkan kenderaan Toyota Hilux hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supertintendan Ismail Man berkata, kejadian pada jam 2.35 pagi itu melibatkan Toyota Hilux dan treler jenis Volvo.

Katanya, kemalangan itu berlaku semasa pemandu treler bersama kelindannya dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menuju ke Selangor untuk menghantar kayu.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu mengalami kerosakan brek dan telah berhenti di bahu jalan susur keluar dari Kampung Merapoh untuk dibaiki.

“Selepas itu, sebuah treler jenis Volvo daripada syarikat sama telah berhenti di hadapan kenderaan tersebut untuk memberi bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu semasa kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan di sebelah kiri treler yang rosak itu, tiba-tiba Toyota Hilux dari arah sama telah hilang kawalan dan melanggar bucu kiri bahagian belakang treler rosak terbabit.

Disebabkan kejadian itu, semua mangsa yang sedang membaiki kerosakan treler terbabit telah dilanggar.

Lemalangan tersebut, menyebabkan pemandu treler rosak, Mohd Izani Mohd Yusoff, 31 dan Mohd Aizad Rosdi, 27 bersama kelindannya Rushaidee Rusli, 22 yang memberi bantuan membaiki treler tersebut maut di lokasi kejadian.

Manakala pemandu Hilux dan kelindan treler tersebut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk diberi rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

Tiga lelaki baiki treler rosak maut dirempuh Hilux

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here