KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan inflasi pada Ogos 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan
utama Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%); Penjagaan Diri, Perlindungan
Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.2%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas &
Bahan Api Lain (3.1%) dan Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (2.0%).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, inflasi Restoran & Perkhidmatan Penginapan mereda kepada 3.2 peratus (Julai 2024: 3.4%).

Ini disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama Perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus (Julai 2024: 4.3%).

Manakala, inflasi bagi Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan merekodkan kadar yang sama seperti Julai 2024 sebanyak 3.2 peratus pada Ogos 2024.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kelas perbelanjaan Barang kemas & jam tangan
pada 17.5 peratus (Julai 2024: 18.1%).

Kumpulan Makanan & Minuman meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024, kadar yang
sama direkodkan pada Julai 2024.

Subkumpulan utama Makanan di rumah meningkat 0.3 peratus (Julai 2024: 0.3%) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan Sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 2.2 peratus (Julai 2024: 2.9%).

Subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat 3.1 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Ogos 2024 merekodkan kenaikan 0.1 peratus,
kadar yang sama seperti Julai 2024.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.2%) dan Kesihatan (0.2%).

Sementara itu, inflasi teras masih kekal 1.9 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama
sejak April 2024. Peningkatan ini didorong oleh kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan
Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.2%) dan Restoran & Perkhidmatan
Penginapan (3.2%).

Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah
paras inflasi nasional 1.9 peratus.

Walau bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3%), Pahang (2.8%), Sarawak (2.5%) dan Selangor (2.3%).

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.9%)
adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.5%), Filipina (3.3%),
Indonesia (2.1%) dan Korea (2.0%).

Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.6%) dan Thailand (0.4%). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here