KUALA LUMPUR- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan berlaku kejadian paip bawah tanah pecah sehingga menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan di Jalan Sultan Ismail.
DBKL dalam kenyataannya berkata, kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan oleh pihak Air Selangor.
“Bagi kerja-kerja baik pulih jalan yang tidak rata akibat tekanan air akan bermula jam 8 malam ini dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 5 pagi keesokan harinya,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.04 pagi menerusi sistem MERS999.
Menurut Komander Operasi PBK I Mohd Rozihafizam Othman, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 5.13 pagi terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik pihak Pengurusan Air Selangor.
Ia menyebabkan berlaku limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut.
“JBPM Kuala Lumpur menghantar jentera ke tempat kejadian dari BBP Hang Tuah dengan kekuatan 13 anggota lain-lain pangkat,” katanya dalam satu kenyataan.- MalaysiaGazette