Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR), Shahbudin Embun (empat dari kiri) berkata, pihaknya telah pun membuat satu laporan polis berhubung ucapan kebencian pemimpin Pas terhadap Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR – Perlu ada tindakan segera daripada pihak berkuasa terhadap fitnah yang ditaburkan parti politik sehingga boleh mendatangkan kesan terhadap kestabilan negara.

Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR), Shahbudin Embun berkata, pihaknya telah pun membuat satu laporan polis berhubung ucapan kebencian pemimpin Pas terhadap Kerajaan Madani pada Muktamar Pas ke-70 di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

“Ucapan pemimpin Pas dalam muktamar bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia malah turut mendapat perhatian daripada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution).

“Beliau sendiri (Saifuddin) mengeluarkan kenyataan akhbar sebanyak tiga muka surat, di atas kekecewaan yang mana Muktamar itu telah digunakan sebagai pentas untuk menghina, memfitnah dan membenci kerajaan,” katanya ketika sidang media Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Shahbudin menambah, ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, ketika Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini juga perlu disiasat kerana dipercayai mempunyai unsur hasutan.

“Ucapan Hadi Awang dalam muktamar Pas adalah keterlaluan, kami tidak pernah melihat dalam mana-mana persidangan parti lain membuat begitu, (mereka) hanya membincangkan isu-isu dasar dan masa depan parti.

“Tetapi Pas menggunakan muktamar untuk memanipulasi fakta. Oleh itu saya gesa agar pihak berkaitan menyiasat ucapan sebegini,” katanya.

Untuk rekod, Pemuda Pas menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan pada Muktamar Tahunan ke-70 parti tersebut, minggu lalu. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here