Win Kyaw Moe didakwa atas pertuduhan memberi suapan kepada polis bantuan PBAPP di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki Myanmar didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah memberikan suapan RM500 kepada seorang polis bantuan pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Win Kyaw Moe, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Tertuduh didenda RM10,000.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan itu kepada polis bantuan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berpangkat konstabel.

Ia sebagai balasan kepadanya supaya memberi kebenaran masuk kepada empat pekerja kontrak di bawah seliaan tertuduh di tapak kerja Loji Guillemard milik PBAPP.

Ini kerana pekerja-pekerja itu melakukan kesalahan di bawah seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu memalsukan kad pendaftaran personel binaan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 10 pagi pada 13 September lalu di sebuah bank di Wisma Jelutong dalam daerah Timur Laut.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee meminta hukuman berat kerana ia merupakan satu kesalahan serius selain melihat kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Soffian Azmir memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap selain menyara isteri dan anak berusia 11 tahun yang bersekolah.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh beberapa kali cuba menawarkan rasuah kepada anggota terbabit yang bertanggungjawab membuat imbasan kad CIDB pekerja yang memasuki kawasan berkenaan.

Pengadu telah ditawarkan sogokan RM500 setiap bulan untuk tempoh setahun. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here