Antara demontrasi penggunaan Kit Pertanian Bandar oleh NAFAS bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

SERDANG – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan rekod penjualan terbesar yang dicapai pertubuhan itu dalam sejarah penyertaannya pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, ia ekoran penjualan produk hampir RM1 juta tercapai sepanjang MAHA 2024 yang berakhir semalam.

“Alhamdulillah, kami berjaya melepasi hasil jualan yang pernah direkodkan NAFAS pada MAHA yang disertai sebelum ini. Nampaknya MAHA 2024 yang juga menandakan 100 tahun ia dianjurkan membawa tuah buat kami,” katanya kepada pemberita di NAFAS Cube di sini semalam.

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

Muhammad Faris memberitahu, NAFAS mengetengahkan produk seperti baja, produk input pertanian, ayam bulat, ayam keratan, produk perapan sejuk beku dan jentera pertanian di lima reruai sepanjang MAHA 2024 sejak ia bermula pada 11 September lepas hingga semalam.

Selain mencatatkan penjualan yang tinggi, NAFAS turut berjaya memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan produk pertanian termasuk bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang berjumlah RM9 juta bagi tempoh dua tahun.

“Kami juga sudah terima beberapa pertanyaan dari pihak negara luar seperti Jepun, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lain yang berminat untuk memulakan kerjasama dalam produk-produk utama kami,” ujarnya.

NAFAS juga telah melancarkan produk baharu pada MAHA 2024 termasuk baja cecair Peladang 25 yang sesuai digunakan untuk pelepasan baja terkawal serta Kit Pertanian Bandar NAFAS bagi mengalakkan orang ramai menanam sayuran di rumah.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Wira Haji Mahfuz Haji Omar Melancarkan Baja Cecair Pelepasan Terkawal – PELADANG 25 bersama Ketua Pegawai Eksekutif NAFAS Bajakimia Sdn Bhd, Zalifudin MD Arshad ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pentas Utama Dewan A, MAEPS, Serdang. Foto AIZAT ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2024.

Mengenai kejayaan penganjuran MAHA 2024, Muhammad Faris memberitahu, kehadiran lebih lima juta pengunjung membuktikan rakyat Malaysia kini semakin celik agenda pertanian keterjaminan negara.

Antara produk yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024

“Ini juga bukti bahawa minat dalam kalangan rakyat Malaysia kepada produk-produk pertanian untuk bercucuk tanam, mungkin sebagai cara mendapatkan pendapatan tambahan atau hobi, semakin menular.

“Data (penjualan) menunjukkan pemintaan untuk produk seperti baja bagi pelbagai jenis tanaman memang laku ‘macam pisang goreng’ pada MAHA tahun ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast