Muhammad Nazmi Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Pengadil berpengalaman kelahiran Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin melakar sejarah apabila menjadi pengadil dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Perkara ini dikongsikan oleh Galeri Sepakbola Indonesia yang menyatakan Nazmi menjadi jurulatih asing kedua mengendalikan Liga 1 Indonesia.

“Nazmi menjadi pengadil kedua bagi perlawanan Malut United menentang Bali United semalam selepas Adham Tumah dari Jordan,” tulisnya di Facebook.

Nazmi merupakan pengadil negara berkredibiliti selepas mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ini terbukti apabila beliau dipilih sebagai pengadil aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24 membabitkan Buriram United dan Zhejiang FC.

Nazmi merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili saingan ACL yang menggunakan sistem bantuan video pengadil (VAR).

Ogos lalu, Nazmi mengetuai barisan pengadil bagi aksi final Piala FA 2024/25 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Awal tahun ini, beliau dipilih bagi menyertai kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026.

Sepanjang tahun 2023, Nazmi juga telah diberi peluang untuk mengadili enam perlawanan AFC Champions League yang mengunakan VAR.

Bukan itu sahaja, anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah dijemput mengadili beberapa perlawanan dalam saingan Liga Arab Saudi musim 2023. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here