Nie Ching melawat pusat media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Taman Ilham di Kluang, hari ini.

KLUANG – Peluang Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Mahkota) diramalkan kira-kira 50 peratus.

Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, keputusan itu boleh dibaiki sekiranya pengundi keluar beramai-ramai dan mengundi calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Saya masih fikir peluang (Barisan Nasional menang PRK DUN Mahkota hanya 50-50, sebab itu kita perlu minta semua pengundi keluar dan buat pilihan yang bijak,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Taman Ilham, di sini, hari ini.

Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, pihaknya akan berbuat sehabis baik walaupun kerusi DUN Mahkota disandang oleh BN sebelum ini.

“Saya rasa bagaimana kita mendekati pengundi-pengundi muda atau pengundi-pengundi wanita, ini memang merupakan tanggungjawab anggota yang terlibat dalam PRK ini,” katanya.

Beliau mahu calon BN itu mendapat sokongan daripada semua lapisan umur dan masyarakat.

“Jadi akan buat sehabis baik untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat dengan mengadakan dialog dan memahami isu mereka dan menjelaskan halatuju kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Nie Ching mengulas dakwaan bahawa pengundi muda diyakini akan terus memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRK DUN Mahkota, seperti sebelum ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, maklumat itu berdasarkan data-data terkini yang diperolehi oleh pihaknya di kawasan pilihan raya tersebut.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here