Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seorang pemandu lori yang positif dadah methamphetamine ditahan selepas merempuh tiga motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Limat, Kubang Kerian, Kelantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang pemandu motosikal maut di tempat kejadian.

Menurut beliau, pemandu berusia 50 tahun itu memandu lori jenis Nissan datang dari arah Peringat ke Pasir Tumboh.

Setibanya di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan yang terlibat.

“Mayat penunggang motosikal itu telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Saksi boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Nurul Izzati Mohammad Rosli melalui talian 09-7752315.- MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here