Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Blok F8, Kompleks F, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Sesi pendidikan lebih 300 kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan rumah amal Gabungan Ikhwan Sendirian Berhad (GISBH) akan dilakukan  secara berasingan dari sekolah arus perdana. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kanak-anak ini yang diselamatkan itu akan ditempatkan di beberapa rumah pelindung dan diberikan pendidikan formal oleh kementeriannya berdasarkan kepada modul khas yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) tidak berada dalam sesi persekolahan arus perdana, kita sudah pernah buat sebelum ini modul khas khusus untuk mereka.

“Kita percaya ada isu-isu yang perlu kita tangani secara spesifik dan perlu ditangani secara berasingan daripada kanak-kanak lain,” katanya dalam sidang media sempena Himpunan Bulanan KPM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak berumur setahun hingga 17 tahun, terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.

Pasukan keselamatan itu turut menahan 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian berumur 17 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan terhadap GISBH.

Fadhlina bagaimanapun tidak memperincikan tempoh penilaian dan tempoh pembelajaran modul khas terhadap kanak-kanak terbabit.

Namun menurutnya, ia akan melibatkan tenaga pengajar dalam konteks modul khas yang mana terdapat penggiliran guru dan intervensi dilakukan dari semasa ke semasa.

“Ia akan dilihat berdasarkan kepada kohot pra sekolah, sekolah rendah dan menengah. Ketiga-tiga akan diberikan tumpuan oleh guru-guru ini.

“Fasa pertama melihatkan 300 lebih kanak-kanak dan akan ada lagi fasa-fasa lain berdasarkan kepada siasatan pihak berwajib,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast