Restoran makanan segera dipecah masuk lelaki tidak dikenali dalam kejadian awal pagi Isnin di Puncak Alam dan suspek diburu polis.

SUNGAI BULOH – Polis memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam jenayah pecah dan samun sebuah restoran makanan segera, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di premis yang terletak di Jalan Niaga Bestari 8, Bandar Puncak Alam, Selangor.

“Hasil siasatan berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati pada jam lebih kurang 7.40 pagi Isnin seorang lelaki menaiki sebuah kereta merah jenis dan nombor pendafataran tidak pasti telah masuk ke dalam restoran tersebut dengan memecahkan pintu cermin restoran itu dengan sebatang sepanar.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kedai terdapat beberapa barang berharga telah hilang disyaki disamun dan dilarikan suspek itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, berikutan insiden itu polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan lelaki yang merupakan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memecah masuk bangunan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu agar tampil segera ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang awam juga boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Sahadan Mohammad di talian 019-3300602,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here