Keadaan motosikal anggota selepas dirempuh geng samun ketika cuba ditahan untuk tindakan lanjut pada kejadian 20 September lalu.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Polis memburu tiga individu yang disyaki memecah masuk sebuah rumah di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor Jumaat lalu

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, anggota pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan terhadap tiga suspek yang melanggar motosikal polis ketika cuba menahan mereka

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya yang menerima panggilan daripada jiran mangsa mengerahkan anggota bermotosikal ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Suspek terlibat yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernombor pendaftaran palsu bertindak agresif melanggar motosikal dinaiki anggota polis ketika mereka ditahan di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Namun, anggota polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek sebagai langkah untuk mempertahankan diri,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, suspek memecut bagi melarikan diri dan siasatan mendapati mereka adalah tiga lelaki warga tempatan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh yang boleh dijatuhkan penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Mohamad Saidi di talian 013-9311208 atau pergi ke balai polis berdekatan.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here