Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu GISBH bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi hasil siasatan mendadpati Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) dipercayai masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang telah diharamkan pada tahun 1994.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dapatan itu diperoleh pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang bertanggungjawab melaksanakan Op Global selepas apabila pihaknya menemui buku dan risalah berkaitan ajaran itu melalui serbuan dijalankan di premis GISBH pada operasi fasa keempat pada 20 September lalu.

“Melalui penemuan terbaharu ini pihak kami percaya daripada risikan dan keterangan yang diperoleh, GISBH ini masih mengamalkan tarikat ini (Aurad Muhammadiyah) kerana ada buku Abuya(Ashari Muhammad) , ada zikir.

“Malah terdapat juga barangan disyaki bertentangan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarikat ini dimulakan Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut tentang perkara ini kerana ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI),” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Razarudin juga menegaskan, polis juga akan meneruskan siasatan terhadap GISBH secara berfasa dengan berhati-hati mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

“Ya, kita juga menjuruskan siasatan ini ke arah SOSMA dengan penuh berhati-hati berdasarkan segala peruntukan perundangan yang sedang digunapakai bagi memastikan tindakan ke atas GISBH dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Ada dua tiga perkara perlu dijelaskan berkaitan kes ini dan bagi pihak PDRM, kita akan menyiasat bawah undang-undang yang ada di dalam Malaysia untuk kesalahan seperti Akta Kanak-Kanak, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Antipemerdagangan Orang dan akta-akta lain,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here