Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang anggota tentera akibat terkena tembakan pemburu haram Kapit, Sarawak, pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

“Kita (polis) sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini termasuk mengesan saksi-saksi berkaitan untuk membantu siasatan kami.

“Proses bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan esok (mengetahui punca kematian),” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu media melaporkan kematian seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan di kawasan hutang di Song akibat terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh pemburu haram.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata yang yang mengesahkan insiden tersebut berkata, mangsa yang berpangkat koperal berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kapit pada 7.43 pagi tadi.

Katanya, polis menerima laporan mengenai kejadian tembak yang berlaku di kawasan hutan Batu 5 Jalan Balak Multiplus, Song itu pada 5.57 pagi hari ini.

“Pengadu memaklumkan bahawa seorang anggota tentera yang sedang menjalani latihan terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh orang awam yang memburu di kawasan tersebut.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kapit namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataannya memaklumkan, mangsa merupakan anggota formasi Briged 9, Sibu iaitu sebahagian daripada Batalion ke-13 Rejimen Renjer Diraja Sarawak.

Kata TDM lagi, mangsa sedang terlibat dalam Eksesais Pasak Bumi (EPB) bermula 21 hingga 29 September ini.

“Ketika kejadian, mangsa sedang melaksanakan latihan di kawasan am Song, Sarawak membabitkan kawasan am Kanowit – Nanga Dap – Song dan berkekuatan satu kompeni.

“Pada hari kedua latihan pada 2.45 pagi hari ini sewaktu sedang berehat platun terbabit mendengar bunyi motosikal melalui jalan tidak berturap atau jalan balak berhampiran lokasi mereka berehat.

“Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dipercayai datang dari arah motosikal berkenaan,” katanya.

TDM memaklumkan, pemeriksaan perimeter dilakukan susulan bunyi tembakan itu dan mendapati mangsa cedera akibat tembakan berkenaan.

Katanya, mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Song pada 4 pagi seterusnya ke Hospital Kapit kira-kira pukul 5 pagi sebelum disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here