Gambar tular

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat penularan satu video di mana bendera Jalur Gemilang diturunkan dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penularan video mengenai sabotaj Jalur Gemilang.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian itu dikesan berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.

“Kita mendapati sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbolik menamatkan penjajahan Malaysia terhadap dua negeri berkenaan dan menjadikannya sebagai republik.

“Setakat ini, polis menerima sebanyak 35 laporan mengenai penularan video berkenaan melibatkan 34 laporan di Sabah dan satu di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis di sini petang tadi.

Tambah Razarudin, siasatan lanjut polis dalam isu itu mendapati video berkenaan ditularkan oleh seorang pemilik akaun media sosial warga tempatan beralamat di Sabah.

Semakan lanjut mendapati individu itu memiliki dua rekod jenayah lampau kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu.

“Suspek bagaimanapun bebas dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 di mahkamah sementara sedang menunggu sebutan semula kes pada November depan.

“Pada masa sama, kita juga sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera),” tegasnya.

Sebelum ini, tular video di laman sosial berdurasi lapan minit 13 saat memaparkan sekumpulan individu bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen Victoria di Melbourne, Australia.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here