Tengku Zafrul bertemu peniaga semasa melakukan walkabout sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II, Kluang, hari ini.

KLUANG – Barisan Nasional (BN) yakin undi awal melibatkan anggota tentera dan polis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok akan memihak kepada calon BN.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk  Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah memiliki ciri-ciri boleh menang.

“Esok adalah hari pengundian awal, kita lihat kualiti calon kita daripada segi ‘winnable’ (boleh menang). Kita yakin akan dapat raih sokongan daripada pengundian awal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata demikian ketika melakukan walkabout sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II, di sini, hari ini.

Pengundian awal esok akan melibatkan 66,318 anggota tenetra di Kem Mahkota dan 401 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Mengenai sambutan penduduk setempat terhadap BN dalam kempen PRK DUN Mahkota, beliau berpuas hati dan akan terus bertemu orang ramai.

Katanya, banyak program yang sudah disusun termasuk berkempen di pasar malam dan bertemu mahasiswa selain menyertai solat bersama-sama penduduk setempat.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here