Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di Lubnan dilaporkan selamat.

Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang memantau perkembangan terkini di Lubnan berikutan serangan di Beirut dan peningkatan pertempuran rentas sempadan di selatan Lubnan.

Menurutnya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan kekal menjadi keutamaan.

Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di Lubnan.

Berdasarkan rekod Kedutaan, terdapat 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, dan semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kementerian ini turut menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan mereka.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya terdapat risiko ke atas keselamatan mereka.

Kementerian ini juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Lubnan berikutan keadaan yang tidak menentu di negara tersebut.

Pada masa sama, kedutaan juga sentiasa berkomunikasi dengan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) untuk memastikan keselamatan pasukan pengaman negara.

Semua penempatan dan penugasan kakitangan MALBATT di Lubnan adalah berada di bawah seliaan UNIFIL.

Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi seperti butiran di bawah:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT
Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan
No. Telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063
Emel: [email protected]

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here