Gambar hiasan

KUALA LUMPU – Ringgit dibuka hampir tidak berubah hari ini dan dijangka mengekalkan trend meningkat berikutan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu lepas yang memberi petunjuk pertumbuhan ekonomi AS lembap tanpa menghadapi risiko kemelesetan.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.2005/2180 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2070 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Fed mahu memastikan pekerjaan maksimum, menunjukkan keutamaan kepada peningkatan.

“Sehubungan itu, peniaga dan pelabur optimis terhadap prospek ekonomi. Dalam satu aspek, terdapat keadaan risiko meningkat yang dijangka memberi prospek baik kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang baik selepas penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas oleh Fed pada 18 Sept lepas.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9160/9284 daripada 2.9182/9229 pada Jumaat lepas dan hampir tidak berubah berbanding euro kepada 4.6873/7069 daripada 4.6878/6950 minggu lepas, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.5921/6154 daripada 5.5841/5928 sebelum ini.

Mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang sama berbanding mata wang ASEAN, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2539/2677 daripada 3.2507/2559 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.7508/8137 daripada 12.7026/7288 sebelum ini.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia, diniagakan pada 7.55/7.58 berbanding peso daripada 7.55/7.56 pada Jumaat lepas dan pada 277.2/278.5 berbanding rupiah daripada 277.2/277.8 sebelum ini. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here