KLUANG –Cadangan membawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok di atas satu pentas semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota perlu dirujuk kepada Pengarah PRK tersebut.
Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, beliau tidak mempunyai kuasa dalam hal tersebut dan terpulang kepada pihak berkaitan sama ada perlu mengadakannya atau tidak.
“Terpulang kepada pengarah PRK untuk mereka fikir yang terbaik sama ada (perlu) dianjur.
“Saya pun tidak pasti sama ada YB Teresa Kok akan turun (berkempen) atau tidak,” katanya mengulas sama ada Dr Akmal dan Teresa akan dibawa dalam satu pentas semasa PRK DUN Mahkota.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat pusat media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Taman Ilham di sini hari ini.
Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini melaporkan Teresa Kok berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.
Kenyataan itu mendapat bantahan Dr Akmal dan menerusi satu hantaran video dalam TikTok sebelum ini, beliau melabelkan Teresa sebagai ‘nyonya tua’ dan tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette