Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan tidak mendahului keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung status fahaman berkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebarang tindakan susulan termasuk usaha pemulihan anggota GISBH hanya boleh ditentukan selepas Jawatankuasa Muzakarah MKI bersidang esok.

“Tunggu dulu biar dia (Jawatankuasa Muzakarah) buat keputusan, nanti dia kata menteri pula keluarkan fatwa pula, mana boleh?

“Kita tunggulah jawatankuasa ini mula bersidang 24, 25 dan 26 September di Terengganu. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kita hanya sediakan kertas untuk pertimbangan jawatankuasa tersebut.

“Ini semua bidang kuasa negeri, JAKIM hanya menyelaraskan sahaja, kita sudah ambil tindakan cepat untuk bawa kertas itu dan dalam perbincangan pada esok, insya-Allah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa fahaman yang didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya dari segi batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia juga kesinambungan al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat.

Menurut Mohd Na’im, selepas tiga hari bersidang, Jawatankuasa Muzakarah perlu membawa keputusan itu kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum merujuk ke Majlis Raja-Raja untuk dimuktamadkan, 10 Oktober.

“Bila mana mesyuarat MKI itu mengambil keputusan dan keputusan tersebut yang akan dibawa ke Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada bulan 10 (Oktober) juga.

“Bulan 10 ini kita sudah boleh dapat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here