Pasangan suami isteri antara lima ditahan bantu siasatan kes pukul dan samun di Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Pasangan suami isteri antara lima individu ditahan bagi membantu siasatan cederakan pemilik dan pekerja bengkel motosikal sebelum melarikan barang berharga dalam kejadian di Teluk Kumbar dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 55 tahun itu diberkas di sekitar Lintang Nelayan 2, Taman Nelayan di sini, selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga pemilik bengkel tersebut.

“Mengikut laporan yang diterima, semasa pengadu bersama dua pekerja berada di bengkel telah datang enam lelaki termasuk dua daripadanya yang dikenali sebelum tiba-tiba salah seorang suspek menampar serta memukul menggunakan pekerja bengkel itu menggunakan besi hingga mengakibatkan kecederaan di kepala, keting kanan serta luka di bahagian belakang.

“Suspek dakwa berang dengan salah seorang pekerja bengkel yang sering datang ke rumah atas alasan mahu memaklumkan motosikal lelaki itu telah siap dipasang.

Telefon bimbit milik kesemua suspek antara yang dirampas.

“Dalam kejadian itu pengadu turut mengalami kecederaan termasuk di tulang rusuk akibat dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, dalam pergaduhan itu suspek turut mengambil gelang silver milik pengadu dan rantai emas milik pekerjanya.

“Susulan tangkapan kesemua suspek pihak polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 27 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here