Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Sesi Libat Urus antara 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta dengan 12 Kementerian TVET ketika di Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak akan terpengaruh dengan penyebaran surat layang yang menggesa mereka untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah memaklumkan kepadanya mengenai penyebaran surat layang itu  dalam kalangan pengundi Cina.

“Semalam perkara itu telah dibawa oleh MB Johor kepada saya, saya ada di sana. Didapati bahawa ia tidak ada pengaruh, tidak mempengaruhi pun dalam kalangan pengundi Cina di DUN Mahkota.

“Kerana terdapat pengundi berketurunan Cina yang tinggal di luar DUN Mahkota dan ada kalangan mereka tinggal di luar daerah Kluang. Serta ramai juga yang berkerja di Johor Bahru tidak kurang yang juga bekerja di Singapura,” kata Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, semua jentera membabitkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan telah digerakkan bagi memastikan pengundi keluar menyokong calon BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan mahu memastikan peratusan keluar mengundi di DUN Mahkota tinggi berbanding PRK Sungnai Bakap.

“Jadi beberapa usaha telah dilakukan bukan kerana surat itu, tetapi diusahakan agar peristiwa di Sungai Bakap di mana kumpulan mereka itu peratusan untuk keluar mengundi agak kecil.

“Di DUN Mahkota kita bersama-sama dengan semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan mengusahakan agar mereka kembali pada 28 hari bulan ini untuk mengundi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan MTVET dan Sesi Libat Urus 66 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Swasta bersama 12 kementerian TVET di sini, hari ini.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mendakwa berlaku penyebaran surat layang mendesak pengundi Cina tidak keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota Sabtu ini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang juga penyelaras PH Kluang bagi PRK berkata, mereka menerima aduan penyebaran surat bertulisan Cina yang disebarkan di beberapa taman perumahan sekitar DUN berkenaan.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Perikatan Nasional (PN), 28 September ini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala PN menampilkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar atau Coach Haizan, 61.

PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here