KLUANG – Tidak sewajarnya pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menghukum parti atau keseluruhan pemimpin Kerajaan Perpaduan atau kerajaan negeri hanya kerana tidak bersetuju atau marah dengan seorang pemimpin.
Ketua Wanita DAP Kabangsaan, Teo Nie Ching berkata, hakikatnya masih ramai pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan yang bersungguh-sungguh dan ikhlas membangunkan negara dan Johor.
Namun, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor mengakui masyarakat Cina ketika ini ‘tidak gembira’ dengan kenyataan pemimpin berkenaan yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi.
“Apa yang lebih penting kami (kerajaan) mempunyai banyak pemimpin-pemimpin lain yang hendak buat terbaik untuk Johor dan Malaysia.
“Begitu juga di Kluang, ada wakil rakyat yang terbaik mahu berkhidmat kepada pengundi dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pusat media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Taman Ilham, di sini, hari ini.
Nie Ching yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi berharap, pengundi di DUN Mahkota bersikap adil dan melihat keseluruhan pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Ya, kadang-kala kita marah sangat dengan seseorang pemimpin tetapi bagaimana dengan pemimpin, yang ikhlas yang memang bersungguh-sungguh bekerja sebagai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adakah adil untuk menghukum semua pemimpin yang bagus hanya kerana seseorang,” soalnya.
Sebelum itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berharap pengundi Cina tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota.
Onn Hafiz berkata, belliau menerima laporan daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi kali ini.
Dipercayai isu yang dimaksudkan Onn Hafiz merujuk kontroversi pensijilan halal antara Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.
Sebelum kempen PRK DUN Mahkota bermula, terdapat kebimbangan bahawa serangan Dr Akmal terhadap Teresa mungkin akan menjejaskan peluang BN untuk menang.
Pengundi Cina mewakili sekitar 35 peratus pemilih di Mahkota dengan 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.- MalaysiaGazette