KUALA LUMPUR – Pasukan Malaysia telah membawa pulang pingat gangsa dari penyertaan di International Chemistry Olympiad ke 56 yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini.
Pertandingan ini dengan penyertaan daripada 333 orang calon peserta dari 87 buah negara seluruh dunia.
Pasukan Malaysia diwakili oleh Adib Fahmy bin Awang (Permata Insan), Muhammad Akeef bin Asmunir (Permata Insan), Nurul Aina Natasya (SMK Yong Peng), dan Ng Ze Xian (Sunway College) bersama Prof. Madya Dr. Ninie Suhana (ketua Mentor) dan Dr. Noordini Mohamad Salleh (Mentor).
Pingat gangsa berjaya diperoleh menerusi Ng Ze Xian.
Sejak penyertaan pasukan Malaysia dari tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 23 pingat gangsa dan 7 pingat perak telah diperoleh dan usaha memburu pingat emas masih diteruskan.
Usaha ini telah dijalankan melalui Bahagian Sukan, Kesenian dan Kurikulum (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah melantik Malaysia International Chemistry Olympiad (MIChO) dari Jabatan Kimia Univerisiti Malaya yang diketuai oleh Professor Noorsaadah Abd Rahman bagi mengendali latihan intensif dan menyelaras pemilihan wakil pelajar ke pertandingan ini.
Olimpiad Kimia Antarabangsa (IChO) adalah pertandingan akademik tahunan untuk pelajar sekolah menengah.
Matlamat pertandingan IChO adalah untuk meningkatkan hubungan mesra antara golongan muda dari pelbagai negara yang mana mereka didorong untuk bekerjasama dan memupuk pemahaman antarabangsa.
IChO yang pertama telah diadakan di Prague, Czechoslovakia pada tahun 1968 dan dihadiri kebanyakannya oleh peserta dari negara-negara bekas blok Timur.
Selepas itu, pertandingan ini diadakan setiap tahun (kecuali pada tahun 1971) dan pada tahun 1980 untuk kali ke-12, Olimpiad Kimia Antarabangsa diadakan di luar blok tersebut di Austria.
Pada masa ini, lebih daripada 80 negara menyertai olimpiad ini termasuk negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia, Singapura, dan Filipina, serta negara-negara OIC seperti Kuwait, Arab Saudi, dan Turkiye.
Peserta untuk pertandingan ini mestilah pelajar yang tidak berdaftar di mana-mana universiti dan tidak boleh berumur lebih daripada 20 tahun pada 1 Julai tahun pertandingan.
Pertandingan ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu peperiksaan teori dan peperiksaan amali.
Setiap peperiksaan adalah selama 5 jam dan diadakan pada hari yang berasingan dengan peperiksaan amali biasanya dijalankan sebelum peperiksaan teori.
Peperiksaan teori membawa 60 mata dan peperiksaan amali membawa 40 mata.
Tahap pertandingan ini sangat tinggi. Sukatan pelajaran pertandingan merangkumi subjek daripada beberapa bidang kimia, termasuk kimia organik, bukan organik, fizikal dan analisis serta biokimia dan spektroskopi.
Walaupun kebanyakan subjek ini termasuk dalam program kimia sekolah menengah, sebahagian besarnya dinilai pada tahap yang lebih mendalam, dan banyak yang memerlukan tahap pengetahuan dan pemahaman yang setara dengan pendidikan selepas menengah.
Pingat emas biasanya diberikan kepada 10% pelajar terbaik, pingat perak diberikan kepada 20% pelajar seterusnya, dan pingat gangsa diberikan kepada 30% pelajar seterusnya.
Anugerah khas diberikan kepada pelajar yang mencapai markah tertinggi keseluruhan. Dua anugerah khas yang berasingan diberikan kepada pelajar yang mendapat markah terbaik dalam peperiksaan teori dan amali.
Pada tahun ini, barisan pensyarah dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya iaitu Prof. Dr. Sharifuddin, Prof. Madya Dr. Ninie Suhana, Prof. Madya Dr. Tan Kong Wai, Prof. Madya Dr. Noraini, Prof. Madya Dr. Desmond, Dr. Noordini, Dr. Rusnah, Dr. Siti Munirah, Dr.
Iskandar, Dr. Noor Idayu dan Dr. Lee Yean Kee telah sama-sama menyumbang usaha dalam memastikan latihan intensif yang diberikan membuahkan hasil dan komited dalam menggapai aspirasi mendapatkan pingat emas pertama dalam pertandingan IChO 2025. – MalaysiaGazette