Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

PUTRAJAYA – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar sejarah apabila terus kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi biru dengan penubuhan Blue Economy Advancement Centre (UMTBeacon) atau Pusat Pemajuan Ekonomi Biru.

Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, UMTBeacon bukan sahaja mencerminkan komitmen pihaknya terhadap ekonomi biru tetapi juga menunjukkan kesungguhan universiti itu sebagai pelopor bidang sains marin itu dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.

“Ekonomi biru merangkumi pemanfaatan sumber laut secara lestari sambil mengekalkan tanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem marin.

“UMT mempunyai lebih daripada 200 pakar penyelidik dalam pelbagai aspek ekonomi biru serta dua institut yang diktiraf sebagai Pusat Keemerlangan Pendidikan Tinggi iaitu Institut Oseanografi dan Sekitaran dan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran UMT Beacon yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr Mohamad Salmi Mohd. Sohod di sini hari ini.

Sempena pelancaran itu, satu perbincangan meja bulat Ekonomi Biru dengan tema Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Ekonomi Biru di Malaysia diadakan bagi menyumbang kepada pembangunan agenda penting ekonomi negara.

Sesi itu melibatkan sekumpulan pemikir, pembuat dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor dalam meyumbangkan idea dan kepakaran untuk masa depan Malaysia yang lestari.

Mengulas lanjut, Mohd. Zamri memberitahu, UMTBeacon juga akan memainkan peranan penting sebagai hab penyelidikan dan inovasi dengan tumpuan kepada lima bidang utama yang menjadi pemacu ekonomi biru.

Menurut beliau, ia mencakupi ilmu perikanan dan akuakultur lestari, pemuliharaan ekosistem marin, tenaga biru, pelabuhan dan perkapalan maritim serta keusahawanan maritim.

“Pelancaran UMT Beacon juga disertai dengan kerjasama strategik antara UMT, Institut Maritim Malaysia (MIMA), PLANMalaysia serta Sekretariat Sabah Maju Jaya.

“Kerjasama ini akan memperkukuhkan usaha UMT dalam melaksanakan dasar ekonomi biru melalui pengurusan marin dan pantai yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Salmi berkata, ekonomi lautan negara mempunyai potensi yang amat besar berikutan Malaysia berada dalam kedudukan unik dengan lebih daripada 4,600 kilometer garisan pantai dan kawasan maritim meliputi perairan luas dan kaya dengan sumber.

Menurut beliau, ia melibatkan aktiviti perikanan, akuakultur, dan pelancongan, minyak dan gas, perkapalan, serta bidang baru seperti tenaga laut yang boleh diperbaharui.

Katanya lagi, aa juga meliputi isu-isu berkaitan dengan ‘blue carbon credit’ Ekonomi Biru yang menjadi bahagian yang penting dalam agenda pembangunan negara.

“Pengurusan yang lestari adalah kunci untuk membuka pertumbuhan jangka panjang selain peningkatan pengiktirafan global terhadap ekonomi biru berasaskan kepada pemahaman yang mendalam dan konsep pembangunan berasaskan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Lautan kita bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi namun adalah sebuah ekosistem yang perlu dijaga,” katanya.

Pada majlis sama, dua penerbitan penelidikan berkaitan ekonomi biru telah dilancarkan melalui buku pertama hasil kerjasama antara UMT dan MIMA menyoroti pandangan sektor maritim terhadap ekonomi biru.

Buku kedua pula diterbitkan hasil usahasama strategik antara UMT dan JabatanPerikanan Malaysia bag member fokus kepada data ekologi marin Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here