Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena pilihan raya kecil N29 DUN Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Parti MIC yakin majoriti pengundi kaum India akan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, masyarakat India hari ini semakin matang dalam menilai politik semasa selepas dipermainkan dengan pelbagai isu sejak 2008 iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Jelasnya, selepas beberapa kali perubahan kerajaan juga, masyarakat India dapat melihat dan membandingkan sendiri bagaimana hanya kerajaan BN yang benar-benar dapat membela mereka.

“Sebab itu saya boleh beritahu di sini (PRK DUN Mahkota), undi masyarakat India `solid’ (kukuh) kepada calon BN.

“Saya yakin antara 70 hingga 80 peratus kaum India yang akan mengundi pada Sabtu ini akan berpihak kepada calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah,” katanya.

Masyarakat India yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena pilihan raya kecil N29 DUN Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan BN di Taman Sri Kluang, di sini malam tadi.

Program dengan acara kemuncak iaitu ucapan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu mendapat sambutan luar biasa selepas dihadiri kira-kira 5,000 masyarakat India setempat.

Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan 66,318 pemilih dalam PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini, merupakan pengundi India.

Dalam pada itu, Vigneswaran berkata, sokongan masyarakat India kepada BN adalah mustahak dalam memastikan kestabilan negara dari segi politik dan ekonomi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kaum itu.

Ujar beliau, di bawah kerajaan BN sejak 1969, masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini tidak pernah berdepan rusuhan kaum, sebaliknya hidup dalam keadaan harmoni antara satu sama lain.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah bersama Pemuda MIV Johor menyantuni masyarakat India pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Kluang, Johor. Foto SADIQ SANI, 22 SEPTEMBER 2024

Malah, katanya, keputusan yang diambil BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan hari ini juga adalah bermatlamat untuk memastikan negara terus maju dan aman di bawah satu payung politik yang stabil, bukannya kerana mementingkan jawatan.

“Sebab itu saya merayu masyarakat India lebih-lebih lagi di DUN Mahkota ini supaya tidak terpedaya dengan isu-isu perkauman dan agama yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here