KUALA LUMPUR- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, tindakan akan diambil terhadap mana-mana kakitangan jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.
“AADK akan terus bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslin berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan keputusan siasatan EIAC yang mendapati seorang bekas ketua Unit AADK Sik, Kedah melakukan kesalahan tatatertib dalam mengendalikan kes dadah.
Bekas pegawai AADK itu dikatakan melindungi individu yang telah disahkan positif dadah jenis syabu dan gagal mengemas kini buku rekod penghantaran sampel urin Orang Yang Disiasat (ODYS).
Ini menyebabkan berlakunya kelengahan hampir setahun enam bulan untuk penyerahan keputusan saringan air kencing terbabit kepada majikan OYDS.
Menurut Ruslin, Unit Integriti AADK telah memanjangkan laporan EAIC tersebut kepada Pengarah AADK Negeri Kedah untuk diambil tindakan segera seperti yang disyorkan.
AADK juga katanya akan terus bekerjasama erat dengan EAIC bagi meningkatkan urus tadbir yang baik dalam agensi berkenaan.
Ia khususnya melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN