KUALA LUMPUR – Malaysia menyaksikan prestasi ekonomi yang memberangsangkan pada Julai 2024 dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan 5.2 peratus, mencapai 115.1 mata berbanding 109.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IP adalah alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini dipacu oleh import benar semi konduktor yang melonjak sebanyak 36.7 peratus dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia meningkat sebanyak 35.4 peratus.

Prestasi bulanan IP juga menunjukkan peningkatan yang positif dengan mencatatkan 1.1 peratus pada Julai 2024, berbanding penurunan 0.4 peratus pada Jun 2024.

Import benar semi konduktor (1.0%) merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ini, menandakan pemulihan dalam sektor teknologi dan industri berkaitan.

Melihat kepada trend jangka panjang terlicin pada Julai 2024, IP konsisten melepasi 100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan disokong oleh pengembangan positif dalam penggunaan domestik dan permintaan berterusan oleh pasaran luar.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) juga menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dengan peningkatan 2.8 peratus pada Julai 2024, mencapai 127.3 mata berbanding
123.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan keseluruhan dalam IS adalah disebabkan oleh peningkatan merentas semua komponen.

Selari dengan itu, prestasi bulanan IS meningkat 0.7 peratus disumbangkan oleh kesemua komponen kecuali Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.1%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast