Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Majlis Getah Malaysia (MRC) mengunjurkan eksport dan keluaran getah negara melepasi RM30 billion menjelang akhir tahun ini.

Tinjauan kukuh ini disokong prestasi keputusan separuh pertama 2024 eksport sektor itu yang mengagumkan.

MRC berkata, prestasi tersebut menyerlahkan daya tahan dan keupayaan industri selari dengan trend pasaran global.

Pada separuh pertama, eksport getah Malaysia dan keluaran getah pulih dengan ketara, mencecah RM15.5 bilion, peningkatan sebanyak 16.3% berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Daripada jumlah ini, produk getah menyumbang sebanyak 70.5% atau RM10.9 bilion, manakala eksport getah menyumbang RM4.6 bilion, mencerminkan
pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 29.4%.

Sektor keluaran getah terdiri daripada keluaran lateks, barangan getah industri, barangan getah am, kasut, tayar dan tiub.

Sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang terbesar, menyumbang 62.5% daripada jumlah keseluruhan produk getah dieksport, dengan eksport mencecah RM6.8 bilion pada tempoh itu berbanding dengan RM5.8 bilion tempoh sama tahun lalu, pertumbuhan sebanyak 16.7%.

Sarung tangan perubatan sahaja menyumbang RM5.0 bilion, mencerminkan pertumbuhan 15.7% disebabkan permintaan berterusan global untuk sarung tangan Malaysia terutamanya daripada sektor penjagaan kesihatan.

Sebagai produk getah kedua paling banyak dieksport, tayar menyaksikan prestasi berbeza di seluruh pasaran pada separuh pertama 2024.

Eksport ke Brazil menunjukkan peningkatan kukuh 22.5% tetapi keseluruhan eksport tayar menurun sedikit sebanyak 1.7%, yang bernilai RM962.8 juta.

Amerika Syarikat terus menjadi pasaran eksport terbesar bagi getah Malaysia, mencakupi 31.4% daripada jumlah eksport keluaran getah, dengan nilai
RM3.43 bilion, peningkatan ketara 23.1% daripada tempoh yang sama pada 2023.

Permintaan untuk sarung tangan getah di Amerika Syarikat kekal kukuh, menyumbang ketara kepada pertumbuhan ini, kata MRC. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here