Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

TANJONG KARANG – Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan garis panduan kepada guru untuk merakam gambar, video atau audio serta memuat naik ke laman media sosial menerusi surat kebenaran yang diedarkan kepada ibu bapa dan penjaga sejak Ogos lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM lebih awal menguruskan garis panduan tersebut untuk menguruskan isu-isu gangguan seksual serta usaha untuk memberi perlindungan kepada keselamatan kanak-kanak khususnya di sekolah.

“Dalam garis panduan ini, kita telah peringatkan para guru berkaitan dengan kebenaran yang diberikan kepada ibu bapa apabila ingin membuat content (kandungan).

“Kita sangat mengambil berat tentang isu kebenaran ini kerana kita tidak mahu ia menjadi isu besar, isu kebenaran dan isu keselamatan khususnya kanak-kanak (ketika berada di sekolah).

“Proses kebenaran daripada ibu bapa (surat akuan) sekiranya ada program atau kandungan pendidikan yang melibatkan anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Duta Guru STEM Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG) hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melancarkan Program Duta Guru STEM Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG) di Tanjong karang, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN, 24 SEPTEMBER 2024

Pada 6 September lalu, media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan guru di institusi pendidikan tidak terkecuali daripada mematuhi undang-undang termasuk tidak menghasilkan kandungan di platform media sosial yang melibatkan kanak-kanak.

Fahmi berkata, KPM perlu memastikan tenaga pengajarnya mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 apabila mahu menghasilkan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, garis panduan bukan sahaja perlu dipatuhi guru bahkan semua pihak supaya lebih berhati-hati apabila menghasilkan kandungan melibatkan pelajar dan kanak-kanak

“Saya harap garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya daripada pendidik kita, saya yakin mereka dapat mematuhinya kerana garis panduan ini adalah khususnya untuk memastikan keselamatan semua pihak khususnya anak-anak,” katanya lagi.

Sebelum ini, KPM melalui surat pekeliling dengan nombor rujukan KPM.100-1/3/2 Jld.9 (52) bertarikh 21 Ogos lalu memaklumkan mengenai pelaksaan surat akuan ibu bapa atau penjaga untuk kebenaran rakaman gambar, video atau audio murid serta memuat naik ke laman media sosial bagi program anjuran institusi pendidikan di bawah KPM.

Pelaksanaan surat akuan kebenaran itu selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 11 Tahun 2023: Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial KPM bertarikh 4 Oktober 2023 bertujuan mengawal selia penggunaan media sosial oleh institusi pendidikan bawah KPM.

Menurut surat pekeliling itu lagi, Perkara 5.3 (vi) dalam garis panduan berkenaan selaras dengan Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, iaitu penjawab awam tidak dibenarkan untuk memuat naik kandungan multimedia yang berkaitan dengan pentadbir sekolah, guru, murid, ibu bapa atau penjaga tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast