TANJONG KARANG – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membuat penilaian kepada latar belakang pendidikan anak pengikut GISB Holdings (GISBH) sebelum menempatkan mereka ke institusi pendidikan di bawahnya untuk proses pemulihan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penilaian itu penting untuk melihat sejauh mana pendidikan dan psikososial yang diterima anak-anak yang diselamatkan dari rumah amal berkaitan GISBH.
“Kita perlukan sedikit masa dan saya ingat selepas beberapa fasa penilaian, kita akan tentukan sama ada mereka boleh kembali bersekolah sama dengan arus perdana atau bersama dengan anak-anak lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Duta Guru STEM Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Terdahulu, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak daripada rumah amal berkaitan dengan GISBH melalui Op Global yang dilaksanakan di beberapa negeri.
GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak malah ada sebahagian mereka ini di ‘bin’ kan dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH.
Menurut Fadhlina, KPM perlu mengambil kira pendidikan yang diterima anak-anak pengikut GISBH sebelum diserap masuk ke dalam sistem pendidikan negara.
“Bermula 1 Oktober ini, kita akan mulakan kelas pengajian dan pendidikan mereka di bawah kelolaan KPM.
“Jadi saya fikir apa jua pendedahan dan pendidikan yang telah mereka terima sebelum ini perlu diambil kira,” katanya. – MalaysiaGazette