Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya proses tindakan lanjut berhubung isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dipercepatkan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, baginda juga mahukan supaya pasukan siasatan lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan isu berkenaan yang sebahagiannya membabitkan kes jenayah.

Katanya, titah berkenaan dinyatakan Sultan Selangor ketika beliau bertemu baginda, hari ini.

“Pada pertemuan tadi, isu GISBH tidaklah dibincangkan secara khusus namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya di sini hari ini.

Tambah Amirudin, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah dijangka memberikan beberapa penemuan terbaharu mengenai perkara itu, esok.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan, kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan operasi premis GISBH selepas mendapat laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.

“Sudah tentu polis perlu menjalankan siasatan penuh dan menyerahkannya kepada kami (kerajaan negeri) bagi tindakan untuk lanjut dengan tidak membenarkan mereka menggunakan premis di Selangor.

“Namun, ia juga perlu berlandaskan fatwa dan peraturan daripada jawatankuasa agama yang akan bermesyuarat nanti.

“Ini bukan kali pertama namun sudah tiga kali selepas Al-Arqam dan Rufaqa’,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here