Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedia untuk mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi pada tahun ini sekiranya Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) menolak permohonan badan itu melaksanakan proses tersebut tahun depan.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, bagaimanapun pemilihan ahli majlis tertinggi GPMS adalah tiga tahun sekali seperti mana termaktub di dalam perlembagaan.

“Sekiranya ROY menolak permohonan (pemilihan majlis tertinggi) itu, kami bersedia untuk mengadakannya tahun ini seperti yang disarankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, bekas Presiden GPMS, Jais Abd Karim menyarankan badan itu mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi seperti disarankan ROY, tahun ini.

Menurut Jais, sekiranya GPMS gagal berbuat demikian, ia boleh memberi implikasi buruk kepada kelangsungan organisasi berkenaan.

Dalam pada itu, Muhd Fazreen berkata, perkara itu telah pun dimaklumkan kepada ROY menerusi surat yang dihantar, pada minggu lalu.

“GPMS masih menunggu maklum balas daripada ROY berhubung permohonan itu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menafikan GPMS sengaja melenggahkan pemilihan ahli majlis tertinggi organisasi itu.

“GPMS tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan, dakwaan itu hanyalah desas-desus daripada pihak luar.

“Terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat sebarang andaian kerana kami tidak pernah menafikan mana-mana individu untuk bertanding mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, pertemuan GPMS dengan ROY semalam bagi perbincangan isu pemecatan Naib Presiden 3 GPMS, Mohd Firdaus Md Radzali dan tidak menyentuh isu pemilihan ahli majlis.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan dan beliau masih boleh membuat rayuan kerana ROY belum mengesah dan mengeluarkan sebarang arahan pemecatan.

“Kes ini diuruskan Jawatankuasa GPMS selepas didapati Mohd Firdaus mencemarkan nama baik organisasi termasuk melanggar perlembagaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here