Asap berkepul-kepul dari tapak serangan udara Israel ke atas bandar Lubnan Baalbeck di Lembah Bekaa pada 23 September 2024. - AFP

HAMILTON – Kanada menyeru rakyatnya di Lubnan untuk pulang ke tanah air dengan segera ketika Hezbollah dan Israel meningkatkan serangan udara.

“Bagi warga Kanada dan penduduk tetap yang berada di Lubnan – pulang ke tanah air dengan segera,” kata Menteri Luar Negeri Melanie Joly di X.

Beliau juga mengeluarkan amaran supaya warga Kanada tidak membuat rancangan perjalanan ke Lubnan.

“Keadaan keselamatan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sangat tidak menentu dan boleh meningkat tanpa amaran pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau juga bersungguh-sungguh menyatakan kebimbangan Kanada terhadap peningkatan tindak balas antara Israel dan Hezbollah, sambal menekankan keutamaan melindungi orang awam pada kedua-dua belah pihak dan di seluruh rantau ini.

Joly berkata, dia berhubung dengan rakan sejawatannya dari Lubnan dan Israel, menggesa ketegangan di sempadan antara Israel dan Lubnan dikurangkan untuk mengelakkan malapetaka lebih dahsyat.

Israel telah melancarkan serangan udara bertubi-tubi ke selatan dan timur Lubnan, dengan pihak berkuasa kesihatan negara itu berkata, sekurang-kurangnya 392 orang, termasuk 35 kanak-kanak, terbunuh dan 1,645 lagi cedera dalam serangan sejak pagi Isnin yang turut memaksa beribu-ribu orang awam meninggalkan rumah mereka. .

Tentera Israel memperhebatkan serangan mereka ke atas Lubnan, tidak menghiraukan amaran masyarakat antarabangsa yang mendakwa tindakan mereka berisiko menyebarkan konflik Gaza ke wilayah lain.

Ketegangan memuncak antara Hezbollah dan Israel berikutan serangan udara maut minggu lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan berpuluh-puluh orang di pinggir bandar Beirut.

Hezbollah mengesahkan sekurang-kurangnya 16 anggotanya, termasuk pemimpin kanan Ibrahim Aqil dan komander tertinggi Ahmed Wahbi, terbunuh dalam serangan udara Israel.

Hezbollah dan Israel telah terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza, yang telah membunuh lebih 41,400 orang, yang majoritinya wanita dan kanak-kanak, berikutan serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu . – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here