Norizan Ujak

MELAKA – “Saya hanya mampu menjerit Ya Allah anak aku apabila melihat motosikal anak merempuh tong sampah pukal roro di bahu jalan menyebabkan mereka terpelanting.

“Masa itu saya yang mengekorinya dengan motosikal lain dari belakang terus berhenti menerpa anak bongsu berusia lima tahun dan mendapatinya sudah terkulai, tangan dan kaki patah,”.

Itu detik hiba diceritakan Norizan Ujak, 40, saksi kemalangan maut yang mengorbankan anak sulung dan anak bongsunya Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan Nur Afiqa Sofea Hazlin, 5 dalam nahas di bahu Jalan Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, kira-kira pukul 6.15 petang semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian berlaku ketika Muhammad Amirul yang membonceng adiknya itu dalam perjalanan menuju ke pusara arwah bapa mereka di Bertam Ulu manakala Norizan mengekori mereka dari belakang dengan sebuah motosikal lain.

Menurut Norizan, arwah suaminya, Hazlin Hassan meninggal dunia November tahun lalu akibat kencing manis dan serangan jantung pada usia 44 tahun.

“Lepas ziarah kubur, kami rancang untuk makan malam di kedai kerana Along (Muhammad Amirul) baru baik demam tapi tak sangka pula berakhir begini.

“Saya nampak depan mata tong roro itu diletakkan betul-betul atas bahu jalan lorong kecemasan menyebabkan anak tidak sempat mengelak kerana ada lori di lorong kanannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka malam tadi.

Mangsa, Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, meninggal dunia pada pukul 9.40 malam dan 12.30 pagi tadi ketika dirawat di Zon Merah Hospital Melaka selepas motosikal ditunggang mereka merempuh kontena sampah pukal roro.

Suri rumah itu berkata, apa yang lebih dikesalkan kontena sampah pukal yang diletakkan di bahu jalan untuk membuang sisa pokok ditebang langsung tidak dipasang ciri-ciri keselamatan.

“Masa kejadian, tak ada seorang pun pekerja kontraktor dilantik untuk tebang pokok itu mengawal lalu lintas memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya merayu pihak berkuasa supaya ambil tindakan tegas kerana kecuaian ini telah menyebabkan saya hilang dua anak sekali gus,” katanya mengalirkan air mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Sedihnya.. apatah lagi lihat anak kesayangan xcident depan mata. Mmg komtraktor cuai. Tak letak signage atau lampu amaran. Ibu arwah boleh lantik peguam dan tuntut kerugian kepada PBT.

  2. Celaka punya MPMBB dan Dato’ Bandar Melaka ni..mcm mana ko tak pantau aspek keselamatan kerja2 kontraktor ni?

Comments are closed.