Penguat kuasa KPDN Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan bekalan minyak masak bersubsidi di seluruh negeri itu.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menafikan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini seperti dibangkitkan pengguna dan media.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, pihaknya telah menggerakkan 134 pegawai penguat kuasa di seluruh negeri untuk memantau situasi bekalan dan memastikan tiada manipulasi berlaku dalam urus niaga.

“Sebanyak 37,705 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negeri sejak 1 Januari lalu sehingga September ini.

“Hasil daripada pemantauan berkala yang dilaksanakan juga mendapati bekalan minyak masak paket mencukupi namun tidak dinafikan berlaku kekurangan bekalan disebabkan permintaan tinggi daripada pengguna dan juga pusingan jadual penghantaran daripada pihak pembekal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Jegan turut mengingatkan peniaga di negeri ini agar tidak mengenakan pembelian bersyarat untuk minyak masak paket satu kilogram kepada pengguna.

Tegasnya, ia susulan pihaknya menerima lima aduan membabitkan isu tersebut sejak Januari hingga semalam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati mengenakan syarat pembelian tambahan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan minyak masak bersubsidi tersebut.

“Amaran keras telah diberikan kepada semua peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan minyak masak paket bersubsidi ini dijual tanpa sebarang syarat tambahan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM300,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here