TANJONG KARANG – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan aspek pendidikan para pelajar yang terjejas akibat banjir di Perak dan Kedah tidak akan terabai dan mereka boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, meskipun kebanyakan pelajar masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) namun proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh dilakukan dengan bantuan pihaknya ke lokasi.
“Saya ingin memberi jaminan pendidikan anak-anak tetap diteruskan walau dalam apa jua keadaan sekali pun, walaupun mereka tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.
“KPM telah menyediakan dua pasukan untuk pendidikan iaitu Academic Sport Team dan Smart Sport Team.
“Kedua-dua pasukan ini akan memastikan pendidikan di semua PPS berjalan dengan lancar dan anak-anak tidak ketinggalan pelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Duta Guru STEM Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Petronas, Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, setakat hari ini, seramai 677 orang murid masih berada di PPS, masing-masing 670 orang di Kedah dan seramai tujuh orang di Perak.
“Saya sendiri telah berkesempatan untuk melawat ke beberapa PPS di Kedah semalam untuk meninjau sendiri operasi di institusi KPM yang dijadikan PPS serta keadaan murid dan keluarga mereka yang berada di sana,” katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan PDPR bergantung kepada keadaan cuaca meskipun beliau difahamkan terdapat beberapa PPS akan ditutup susulan keadaan banjir semakin surut dan pulih.
“PDPR akan ditentukan dari semasa ke semasa bergantung kepada cuaca. Jadi anak anak tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
“Konteks PDPR ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dan ia bukan sesuatu yang asing. Boleh diteruskan dengan keupayaan dan kemampuan guru kita yang sudah terlatih,” katanya lagi, – MalaysiaGazette