JOHARI Abdul Ghani (dua dari kanan) ketika meninjau ruang pameran sempena program Budi-Agri Komoditi yang diadakan di Dewan Muafakat, Kluang, Johor, hari ini.

KLUANG – Masih terdapat lebih 100,000 pekebun kecil yang terlibat dalam aktiviti komoditi seperti getah, kelapa sawit, koko, lada dan kenaf di seluruh negara belum mendaftar di bawah program BUDI Agri-Komoditi bagi mendapatkan subsidi diesel berjumlah RM200 sebulan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, di Johor sendiri, hanya kira-kira 1,000 daripada keseluruhan 46,000 pekebun kecil yang mendaftar setakat ini bagi mendapat bantuan menerusi inisiatif di bawah Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI Madani) itu.

Jelas beliau, ia merupakan satu kerugian kepada para pekebun-kecil memandangkan kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi mengurangkan beban kos pengangkutan buat mereka berikutan peningkatan harga diesel sebelum ini.

“Sebab itu kita menggiatkan kempen turun padang mendekati pekebun-pekebun kecil untuk menarik dan membantu mereka mendaftarkan diri bagi mendapatkan subsidi ini.

“Sehingga kini, kira-kira 50 program berskala kecil dan besar telah kita lakukan di seluruh negara dan berjaya mendaftarkan lebih 60,000 pekebun kecil.

“Namun jumlah yang belum mendaftar masih ramai, jadi kita akan perhebat kempen turun padang bertemu secara terus dengan golongan ini dengan bantuan agensi-agensi di bawah kementerian ini supaya mereka tidak tercicir daripada mendapat manfaat yang diberikan kerajaan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program turun padang BUDI-Agri Komoditi yang diadakan di Dewan Muafakat, Mahkota di sini hari ini yang turut dihadiri hampir 1,000 pekebun kecil sekitar daerah itu.

Menurut Johari, pihaknya mendapati antara kekangan kepada pekebun kecil berkenaan untuk mendaftar disebabkan kesukaran untuk mendapatkan akses internet selain tiada bimbingan daripada pihak berwajib.

Sehubungan itu, beliau merayu pemimpin masyarakat setempat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan yang mempunyai pekebun kecil dapat membantu mengenal pasti dan mempermudahkan urusan pendaftaran golongan tersebut turut mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

“Lebih-lebih dalam kalangan pekebun kecil yang saiz ladang mereka tidak begitu besar, inisiatif ini yang secara keseluruhannya berjumlah RM2,400 setahun sekurang-kurangnya dapat menampung kos penghantaran hasil mereka disebabkan peningkatan harga diesel,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here