Gambar hiasan

TEMERLOH – Lima kanak-kanak yang ditemui ketika dalam serbuan di dua premis rumah kebajikan bawah kelolan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim berkata kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun itu dirujuk sebagai kes Suspected Case of Abuse and Neglect (SCAN).

Ir Razali Kassim

“Berdasarkan pemeriksan awal, terdapat kesan parut lecur lama dan lebam di badan kanak-kanak tersebut. Pemeriksaan menjurus siasatan berkemungkinan kes pengabaian dan penderaan.

”Susulan itu siasatan lanjut dan temubual  dilaksanakan bagi mecari punca sebenar bagi kesan parut lecur dan lebam tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, selain daripada siasatan terhadap kecederaan fizikal, semua kanak-kanak terbabit turut disiasat bagi mengenal pasti simptom dan tanda-tanda kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan.

Terdahulu pada 21 September lalu pihak polis telah melakukan serbuan di dua premis rumah kebajikan yang didapati mempunyai kaitan kumpulan syarikat tersebut di Kampung Paya Pulai Tengah dan Taman Bukit Semantan dekat Temerloh.

Menurutnya tiga kanak-kanak perempuan telah dbawa dari premis di Taman Bukit Semantan.

“Ketiga-tiga mereka merupakan adik- beradik kandung masing-masing berumur 12, 10, dan 9 tahun.

“Namun tiada pengenalan diri ditemui bersama mereka semasa serbuan dilaksanakan oleh pihak polis,” katanya.

Manakala dua kanak-kanak lelaki pula telah dibawa dari premis yang terletak di Kampung Paya Pulai Tengah dan merupakan adik-beradik kandung.

”Mereka masing-masing berumur 6 dan 4 tahun. Berdasarkan laporan polis, kedua-dua kanak-kanak lelaki ini mempunyai nombor pengenalan diri,” tambahnya.

Jelas Razali selain daripada penyiasatan pengabaian dan penderaan, pihak kaunselor juga telah mengadakan sesi perjumpaan awal bersama-sama dengan mangsa.

Difahamkan mereka akan menjalani intervensi yang sesuai berdasarkan penilaian pihak kaunselor dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) HoSHAS selain dipantau oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here