Kemeriahan Majlis Makan Malam Alumni bertemakan ‘Golden Navy Blue: A Night to Reunite’

Majlis Makan Malam Alumni bertemakan ‘Golden Navy Blue: A Night to Reunite’ sempena Program Mai Balik UUM menjadi detik yang sangat berharga untuk merapatkan silaturahim dan menghidupkan kembali kenangan indah alumni  bersama universiti tercinta.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan menyifatkan alumni sebagai aset yang paling berharga buat UUM.

“Kejayaan dan pencapaian yang anda raih di luar sana adalah cerminan kepada keunggulan institusi ini. Setiap pencapaian anda adalah kebanggaan bagi diri sendiri dan juga bagi universiti yang telah mendidik dan membimbing anda.

“UUM amat menghargai sokongan anda dalam memperkukuhkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dengan jaringan alumni yang kuat dan berdedikasi,  universiti ini akan terus  cemerlang,” kongsinya.

Ujarnya, peranan setiap alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater amat penting sama ada melalui tenaga, idea, kepakaran, atau kewangan.

“Sokongan anda terus membantu universiti untuk memperkasa pelajar, melaksanakan program berimpak tinggi dan mengukuhkan penyelidikan berkualiti.

“Saya ingin mengajak semua untuk terus menyumbang dalam apa jua bentuk yang termampu agar kita dapat melahirkan lebih ramai graduan yang cemerlang dan berkualiti,” ucapnya  di Dewan Mu’adzam Shah, baru-baru ini.

Jelasnya, majlis ini untuk mengenang perjalanan alumni di universiti dan menatap masa depan dengan harapan dan cita-cita baharu selain membuka peluang untuk lebih banyak kolaborasi dan sokongan dalam pelbagai bidang.

Sementara itu wakil Alumni, Datuk Ramli Mohd Tahir menyeru semua alumni  untuk terus berbakti kepada UUM agar universiti ini terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan.

“Universiti bukan sahaja memberi ilmu malah merakamkan kenangan indah pada kami. Hebat macam manapun kita, jangan lupakan Universiti Utara Malaysia.

“Universiti ini milik kita bersama jadi tunjukkan sokongan, sumbangan dan kasih sayang,   untuk memulangkan semula kepada universiti tercinta mengikut bidang masing-masing.

“Hidup ini terlalu pendek, jangan pernah lupakan ibu bapa dan pensyarah yang telah banyak berjasa mendidik kita sehingga berjaya,” katanya.

Menerusi program ini katanya, alumni berpeluang kembali ke alam universiti untuk berkongsi cerita, pengalaman dan melakukan aktiviti rekreasi yang amat menyeronokkan selain memberi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

“Pertemuan ini telah memberi peluang pada kita untuk kembali kepada alma mater dengan menyuburkan semangat kekitaan, saling menghormati dan berkongsi aspirasi, pencapaian, kejayaan dan masa depan UUM,” ujarnya.

Program Mai Balik UUM 2024 anjuran Pusat Alumni UUM, julung kali diadakan bersempena Sambutan Tahun Melawat UUM 2024 dan Sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke 40 berlangsung dari  20 – 22 September. – MalaysiaGazette

Pelbagai aktivti menarik antaranya Jom Pi Jenguk Bilik Lama, Konvoi Alumni Bikers dan U Riders Sempena Maulidur Rasul, Kenduri Alumni, ‘Back To School’, Discover UUM, Senamrobik, Konvoi Kenderaan Bernombor Plat UUM, Tahlil, Perlawanan Persahabatan Bola Sepak dan golf.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast