Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zamry Abd Kadir berucap pada Program Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital CIDOS Inspiring Learning Awards ke-12. Dewan Za'ba, Kementerian Pengajian Tinggi ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Mahasiswa yang terjejas banjir di Kedah dan mempunyai halangan untuk mendaftar bermula 28 September ini dinasihatkan memaklumkan kepada pihak universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ia bagi memudahkan pihak universiti mengenal pasti bantuan dan masalah yang dihadapi.

“Setakat ini banjir hanya melibatkan negeri Kedah, jadi kita belum dapat maklumat lanjut.

“Sekiranya ada dalam kalangan pelajar yang terlibat (dengan pendaftaran ke institusi pengajian tinggi) menjadi mangsa banjir, mereka perlu memaklumkan kepada pihak universiti.

“Ini bagi membolehkan bantuan dapat diberikan dan masalah tidak dapat mendaftar (mengikut jadual) dimaklumkan kepada pengetahuan pihak universiti.

“Bagaimanapun saya serahkan kepada pihak universiti untuk berinteraksi (dengan pelajar berkenaan),” katanya.

Zambry berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pembelajaran  Digital CIDOS Inspiring Learning Awards Ke-12 (eDOLA) di sini malam ini.

Tambahnya, setakat ini tiada universiti awam yang terjejas akibat banjir di Kedah.

Sementara itu Zambry memaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi Universiti Utara Malaysia (UUM) terlibat dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah.

Terdahulu Zambry berkata, tarikh pendaftaran dan kemasukan semula pelajar ke universiti kekal pada 28 September ini.

Walaubagaimanapun katanya, KPT memberi kelonggaran mendaftar lewat kepada mahasiswa baharu universiti awam yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sehingga 29 September ini.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here