Amir Hamzah Azizan menyampai ucaptama pada majlis pelancaran Rangka Kerja Kelestarian Kebangsaan (NSRF).di Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Rangka Kerja Kelestarian Kebangsaan (NSRF) bukan sekadar kemajuan kawal selia sebaliknya dapat menangani keperluan maklumat pelabur dan pembiaya untuk membantu dalam keputusan pengagihan modal.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, apa yang lebih penting, rangka kerja itu juga dapat mempromosikan kemakmuran ekonomi selaras pengurusan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

Menurut beliau, pelabur global kini telah menunjukkan minat baru terhadap naratif reformasi Malaysia seperti yang digambarkan dalam pasaran modal domestik.

“Contoh oleh FBM KLCI yang mencapai tahap tertinggi baru serta pelaburan langsung asing oleh syarikat global seperti Microsoft, Google, Byte Dance dan Infineon Technologies.

“Kita sudah melihat transformasi dalam cara pelabur mendekati portfolio mereka. Secara sejarah, metrik kewangan adalah satu-satunya ukuran kejayaan tetapi itu tidak lagi berlaku hari ini.

“Peralihan ini bukan sekadar trend tetapi refleksi pemahaman yang lebih mendalam bahawa penciptaan nilai jangka panjang berkait rapat dengan amalan dan etika,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran NSRF di Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

NSRF yang ditubuhkan tahun lalu dengan sokongan Kementerian Kewangan dibangunkan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kelestarian.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan SC dan terdiri daripada Lembaga Pemantauan Audit, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Yayasan Laporan Kewangan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menambah, syarikat tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan ACE serta syarikat besar tidak tersenarai dengan pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas disaran mematuhi NSRF.

Beliau berkata, ini kerana NSRF merangka pendekatan Malaysia terhadap pelaporan kelestarian, menggunakan piawaian pendedahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa serta kerangka untuk jaminan kelestarian.

“Malaysia kini menyertai lebih 20 bidang kuasa yang secara kolektif mewakili 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global yang memutuskan atau sedang mengambil langkah untuk menggunakan piawaian terbabit.

“Ini adalah langkah signifikan dalam komitmen kami untuk mengintegrasikan kelestarian ke dalam teras pembangunan ekonomi negara.

“Kelestarian adalah salah satu daripada enam nilai teras Malaysia Madani, termasuk kasih sayang dan empati, penghormatan, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan.

“Asas ini yang diperlukan untuk membina Malaysia lebih baik untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here