Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Perasmian Karnival Alam Kita 2024 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2024.

KLUANG – Pas didakwa semakin terdesak dan terancam apabila menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Pas bimbang kerana sokongan orang Melayu sudah tidak lagi memihak kepada mereka.

Jelas beliau, Pas tercabar apabila Anwar semakin menjuarai pelbagai isu umat Islam selain mendapat penghormatan daripada ulama antarabangsa.

“Anwar dapat juarai isu umat Islam dan dilihat ke depan serta menerima penghormatan daripada ulama di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ini bagi saya Pas merasakan satu ancaman kepada politik mereka. Selama ini mereka tidak sentuh (perjuangkan) sangat soal periuk nasi dan keutamaan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam berkata demikian kepada pemberita dalam Program Ziarah di Taman Ilham di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, gesaan Pas itu adalah sesuatu yang serius dan percaya mereka akan terus menggunakan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.

Kataanya, tindak tanduk Pas itu tidak menunjukkan kematangan sebagai sebuah parti yang berminat untuk mentadir negara.

Pada 12 September lalu, Dewan Pemuda Pas membuat usul supaya Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri atau diturunkan dengan kadar segera dalam muktamar parti itu di Temerloh.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda Pas Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Dalam pembentangannya, Abdul Abidi antara lain berkata, tujuan usul tersebut bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara perlu memiliki kepimpinan baharu yang benar-benar kompeten serta mempunyai akauntabiliti untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Susulan itu, Anwar ketika berucap dalam Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat: Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Selangor, malam Sabtu lalu mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here